Monday, July 5, 2010
Zuhud:Tanda Bijaksana.
“ Tidak boleh berdengki melainkan pada dua perkara; (1)lelaki yang Allah berikan harta, dihabiskan hartanya di jalan kebenaran.(2) lelaki yang Allah berikan al-nikmat (kebijaksanaan) lalu dia beramal dengan ilmunya dan diajarkan kepada orang lain”.
( Sahih Bukhari: 71 )
Dan hadis daripada Ibn Abbas berkata:
“ Rasulullah s.a.w telah meletakkan tangan baginda di dadanya seraya berdoa : ‘ Ya Allah ajarkan kepadanya al-hikmah (kebijaksanaan)’”.
Betapa besarnya nikmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Tiada terhitung nikmat tersebut, demi memastikan manusia mampu menjadi hamba yang taat dan sentiasa menginsafi kehadiran mereka di dunia ini.
Berdasarkan hadis di atas, nikmat yang disebutkan merujuk kepada nikmat kebijaksanaan yang dikurniakan Allah s.w.t kepada manusia.Kebijaksanaan ini berpunca daripada hati dan ia berkait rapat dengan sikap manusia itu sendiri. Ia juga berkait rapat dengan apa yang ada di muka bumi ini.
Bagaimana untuk menjadi bijaksana? Jawapannya, kita mesti menjadi manusia yang zuhud untuk menjadi bijaksana. Zuhud bermaksud cintakan akhirat lebih daripada cinta kepada dunia. Jangan terlalu taksub pada dunia dengan membiarkan harta dunia ,pangkat,darjat dan segala apa yang ada di dunia ini merosakan hidup hingga terlupa kepada Yang Maha Esa. Zuhud juga bermaksud, kita sedia mengguna dan memperalatkan atau berkongsi harta yang dimiliki dengan orang lain yang lebih memerlukan. Jika kita tergolong dalam golongan yang zuhud, kita adalah orang yang bijaksana dan akan selamat di dunia dan di akhirat.
Orang yang zuhud akan sentiasa merasakan bahawa dunia ini cepat hilang, punah, hancur dan akan berkurangan.Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-A’la ayat 70 yang bermaksud: ‘ “…..Dan akhirat adalah lebih baik dan kekal ”.
Ayat di atas sangat jelas menunjukan bahawa akhirat itu adalah suatu yang pasti , kekal abadi serta sempurna dengan segala kebaikan di dalamnya. Oleh itu, sebagai hamba Allah s.w.t yang bijaksana, dipesan kepada manusia agar jangan mencari bekalan dunia sebagai asbab untuk dicampakkan ke dalam neraka. Sebaliknya kita dituntut supaya mencari bekalan yang dapat membantu kita melepaskan diri daripada azab neraka Allah s.w.t.
Hassan al-Basri berkata :
“ Sungguh indah dunia ini bagi orang mukmin, dia hanya melakukan sedikit amal, tetapi ia adalah bekal menuju ke syurga ” .
Ibn Mas’ud berkata :
“ Tidak ada seorang pun di dunia ini kecuali dia berada dalam keadaan lemah, hartanya adalah pinjaman, tetamu akan pergi dan barang pinjamannya akan dikembalikan ”.
0rang yang bijaksana, setiap percakapannya boleh menjadi panduan dan pengajaran kepada orang yang mendengarnya. Sesekali mereka tidak akan mengungkap butir bicara yang sia-sia. Dan setiap kata-katanya mengandungi nasihat dan pedoman yang berguna untuk dijadikan pedoman menjalani hidup sehari-hari. Sebagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda yang sentiasa menjadi contoh panduan kepada orang lain, baik dari segi tutur bicara mahupun tindak laku mereka.
Daripada segi perbuatan, mereka bukan golongan orang-orang yang cintakan dunia sehingga lupa kepada akhirat yang kekal abadi. Bagi mereka, harta dunia tidak berharga, melainkan sekadar memenuhi keperluan untuk hidup sementara. Harta bukan untuk dikumpulkan secara berlebih-lebihan sehingga melalaikan hati dan diri daripada mengingati destinasi terakhir. Lantaran itu,apa yang mereka miliki digunakan sepenuhnya demi perjuangan mereka menegakan kedaulatan islam di muka bumi ini. Mereka sanggup mengabadikan segala harta yang dimiliki kepada perjuangan ialam. Hatta sesetenggahnya, mereka sendiri tidak mempunyai apa-apa untuk dinikmati. Segalanya dihabiskan semata-mata untuk menegakkan islam di bumi Allah s.w.t ini.
Mengutip contoh mereka yang bijaksana dalam melontarkan bicara tertentu sahaja yang terbaik adalah pada bicara Rasulullah s.a.w. Bagindalah sebaik-baik contoh bagi semua umat manusia. Apa sahaja patah bicara yang terlontar daripada ulas bibir baginda adalah berpandukan apa yang terkandung dalam firman Allah s.w.t yang disampaikan kepada baginda. Tidak ada satupun perkataan yang keluar dari mulut baginda perkataan yang tidak baik atau yang tidak memimpin umatnya. Sebaliknya apa yang keluar dari mulut baginda mengandungi nasihat dan panduan untuk menjalani kehidupan sehari-hari.
Walaupun kehidupan di dunia ini penuh dengan tipu daya, namun Allah s.w.t akan mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dengan selamat menuju ke akhirat. Mereka akan terselamat daripada menjadi mangsa kemilau godaan duniawi. Mereka diselamatkan melalui nikmat kebijaksanaan yang telah dianugerahkan Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Bgi mereka yang mengabdikan cinta terhadap akhirat melebihi cinta dunia, mereka akan dianugerahkan nikmat kebijaksanaan dan dikeluarkan oleh Allah s.w.t dengan selamat menuju kepada akhirat.
Pun begitu, daripada hadis Rasulullah s.a.w tadi, tidak bermakna baginda menghalang umat-umatnya mengumpulkan harta kekayaan. Umat islam masih boleh mengumpulkan sebanyak mana harta yang ingin mereka miliki. Namun mereka perlu memastikan harta-harta itu dicari dengan cara yang halal. Mereka juga perlu memastikan harta yang dimiliki tidak mencampakkan mereka ke jurang alpa dan kesesatan. Harta yang dimiliki hendaklah dipastikan tidak menjadi pasung yang menghalang mereka beribadah kepada Allah s.w.t serta mencari bekalan untuk hidup di akhirat kelak. Mereka wajib memastikan setiap harta yang dikurniakan menjadi pemangkin untuk menjadi lebih bertaqwa. Setiap rezeki yang dikurniakan hendaklah dimanfaatkan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.
Bahkan, jika dibelek catatan sejarah para sahabat di zaman Rasulullah s.a.w ramai di kalangan mereka terdiri daripada hartawan. Saidina Uthman bin Affan sebagai contoh, adalah seorang ahli perniagaan yang Berjaya di zamannya. Namun, beliau seorang yang sangat zuhud malahan sanggup menghabiskan harta yang dimilikinya untuk perjuangan islam. Saidatina Khadijah, isteri kesayangan Rasululluh s.a.w juga adalah seorang hartawan. Namun, kerana cintanya sangat utuh kepada islam, beliau rela menghabiskan harta miliknya untuk islam.
Firman Allah s.w.t :
“ Allah s.w.t melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi ( bagi sesiapa yang Dia kehendaki ). Mereka bergembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan ( yang sedikit ) dibandingkan kehidupan akhirat ”.
( ar-Ra’d : 13:26 )
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah s.w.t berhak menentukan kepada siapa Dia akan mengurniakan rezeki-Nya. Namun bagi umat islam, apabila mereka dikurniakan rezeki yang banyak, mereka hendaklah sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Allah s.w.t itu dan memanfaatkannya ke jalan yang Dia redhai.
Nukilan al-Quran, banyak ayat yang mendorong umat islam supaya bersifat zuhud di dunia, cerita mengenai kehinaan dan rendahnya nilai dunia, cepatnya dunia itu hilang dan fana, dorongan untuk meraih akhirat serta berita mengenai kemuliaan akhirat. Jika Allah s.w t menghendaki kebaikan bagi seseorang hamba, Dia akan meletakkan dalam hati hamba-Nya sesuatu yang dapat membantunya melihat hakikat dunia dan akhirat. Lantas bertitik dari situ, mereka akan dapat membuat pilihan yang tepat.
Firman Allah s.w.t :
“ Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan seda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian ( tanaman ) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat ( nanti ) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah s.w.t serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu ”.
( al-Hadid : 57:20 )
Rasulullah s.a.w bersabda :
“ Berilah khabar gembira kepada umatku dengan kemuliaan, ketinggian dan ketetapan yang mereka dapati dalam Negara mereka, selama mereka tidak mencari dunia dengan amalan akhirat. Barangsiapa yang mencari dunia dengan amalan akhirat, pasti di akhirat nanti mereka tidak mendapat nasib yang baik ”.
( Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 8009 )
“ Barangsiapa yang mencari dunia, pasti akhirat akan mencarinya hingga datang kepadanya kematian. Barangsiapa yang mencari akhirat, pasti dunia akan mencarinya hingga dia mendapat rezeki yang sempurna ”.
( Al-Mukjam al-Kabir : 10175 )
Orang yang paling zuhud adalah Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menawarkan kunci perbendaharaan dunia kepada manusia yang paling dicintai-Nya dan paling mulia di sisi-Nya. Tetapi baginda tidak menghendakinya. Tiada keinginan baginda untuk merebut tawaran tersebut dan menjadi insan paling kaya di dunia. Seandainya baginda memilih dan menginginkan dunia, pasti baginda menjadi makhluk yang paling bersyukur atas apa yang dikurniakan kepadanya. Akan tetapi, baginda memilih untuk mengambil dunia sedikit sahaja dan baginda bersabar menjalani kehidupan yang sukar.
Sahih Bukhari dan sahih Muslim ada menyebutkan pernyataan Abu Hurairah :
“ Demi Tuhan yang jiwa Abu Hurairah berada di tangan–Nya, Rasulullah s.a.w serta keluarga baginda tidak pernah kenyang makan roti gandum selama tiga hari berturut-turut sehingga baginda wafat ”.
( Sahih Muslim : 5386 )
Sifat-sifat yang perlu ada untuk menjadi insan yang zuhud adalah :
• Redha dengan kurniaan Allah s.w.t.
• Tidak terpesona dengan dunia
• Menjauhi pekara syubhat
• Sabar dan tidak mengeluh
• Hidup sederhana
• Suka bersedekah
• Tidak suka meminta-minta
• Menggunakan kemudahan dunia untuk kebahagiaan di akhirat
Umar al-Khattab ketika naik ke atas mimbar untuk berkhutbah kepada khalayak ramai adalah dalam keadaan fizikal yang dapat menggambarkan kezuhudannya. Sedangkan tatkala itu, beliau merupakan seorang khalifah. Akan tetapi pada pakaian beliau terdapat 12 tampalan. Inilah keadaan khalifah islam kedua yang tidak pernah menitipkan cinta terhadap dunia melebihi cintanya kepada Rasulullah s.a.w dan akhirat yang kekal abadi. Seandainya ada di antara kita pada hari ini yang kainnya tertampal, pasti kita akan berasa malu untuk masuk ke masjid dengan pakaian tersebut. Malahan kita mungkin sanggup untuk tertinggal solat berjemaah dengan alasan sebegini.
Nasihat Nabi Isa AS kepada sahabat-sahabatnya :
“ Masuklah kedalam dunia, tetapi jangan engkau menyibukkan diri di dalamnya ”.


