Pages

Firman Allah S.W.T.

"Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri,janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t.Sesungguhnya Allah s.w.t mengampuni semua dosa-dosa dan sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". ( az-Zumar: 39:53 )

Tuesday, June 22, 2010

Berusaha Meraih Redha Allah s.w.t.

 “sekiranya  bagi  anak  adam  itu  memiliki  satu  wadi  emas,
pasti  dia  akan  mahu  satu  wadi  emas  lagi,
sedangkan  semua  tidak  memenuhi  mulutnya  melainkan  tanah ”.

              Hadis  ini  amat  mendalam  maknanya.Berkias pada hakikat yang akan dilalui oleh manusia sewaktu hidup di dunia ini.Andai harta yang dimilikinya mampu menjadikannya sebagai seorang yang sentiasa terdorong melakukan kebajikan,nescaya berbahagialah mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat.Sebaliknya,jika harta itu melalaikan mereka dan mendorong mereka ke jalan maksiat dan kekufuran maka celakalah yang menanti mereka sama ada di dunia apatah lagi di akhirat kelak.
       
             Sesungguhnya peringatan ini sudah cukup menjadi pedoman bagi mereka yang mahu menginsafi akan hakikat mereka dihadirkan ke dunia ini.Mereka inilah yang tergolong dalam kalangan orang yang beriman dan bertakwa yang hati mereka sentiasa mengingati amanah dan tanggungjawab sebenar sebagai seorang hamba Allah s.w.t yang melata di muka bumi ini.Sesungguhnya manusia yang sebenar-benar manusia itu adalah manusia yang sedar dirinya manusia.Atau dalam sisi lain,mereka sentiasa sedar betapa sebagai manusia yang diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini,ada tanggungjawab yang harus ditunaikan dan kelak akan dipersoal pada hari perhitungan.
      
 Hassan al-Basri pernah ditanya :

"Wahai abu sa'id,siapakah manusia yang paling keras teriakannya pada hari kiamat?"Beliau menjawab:"Orang yang dikurniakan nikmat ,tetapi dia menggunakannya untuk melakukan maksiat kepada Allah s.w.t".
                                    ( Hassan al-Basri:47 )
    
                Orang yang mencintai hartanya dengan selalu menghitungnya semenjak lahir sampai kematiannya,sesungguhnya dia berjalan di belakang wang ringgitnya.Pun begitu,apakah matlamat perjalanan akhirnya dalam hidup ini?
     
               Sebagai umat islam,kita perlu berusaha mengajak diri sendiri dan saudara kita supaya melakukan amalan kebaikan dan bukannya menggalakkan mereka melakukan kejahatan.Apabila melihat senario pada hari ini tempat-tempat maksiat sangat banyak yang tumbuh umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan.Senario sebegini seolah-olah menggalak dan membuka peluang kepada semua orang tidak kira daripada golongan mana mereka ini untuk melakukan maksiat.Jalan untuk seseorang itu melakukan maksiat seolah-olah dibuka seluas-luasnya.Pilih sahaja tempat dan masa yang diinginkan untuk melakukannya.Tidak ada yang akan menghalangnya.Alangkah ruginya orang-orang yang menghabiskan sisa hayatnya dengan
melakukan perbuatan sebegini.
          
             Walaupun demikian,ia bukan bermakna tidak ada ruang dan peluang untuk mereka yang ingin kepada kebaikan.Bukan bermakna dengan ruang maksiat yang melata kini,maka ruang kebaikan semakin mengucup dan tertutup.Ruang dan peluang untuk kebaikan tetap ada selagi mana ada keinginan di hati seseorang itu untuk berbuat demikian.Pilihan masih berada di tangan kita sama ada mahu terikut-ikut berkunjung ke tempat-tempa sebegini ataupun sebaliknya.Bagi hamba Allah s.w.t yang benar-benar beriman, mereka akan setiasa"mengharamkan"kaki mereka daripada melangkah ke tempat-tempat sebegini sekalipun mereka diajak dan diberi peluang untuk mengunjunginya.Mereka juga akan semampunya memastikan sahabat-sahabat,saudara-saudara serta sesiapa sahaja tidak berkunjung ke tempat-tempat sebegini.Dengan kata lain,mereka bukan sahaja akan menghindarkan diri daripada tempat-tempat sebegini,tetapi dalam masa yang sama tidak pernah putus menyeru orang lain untuk menghindarkannya.
      
               Sebaliknya mereka akan sentiasa mengabdikan diri mereka di tempat-tempat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Langkah katih akan sentiasa terpacu menjejaki denai-denai yang menuju kepada keredhaan dan kasih sayang Allah s.w.t.Lantas, masjid dan majlis-majlis ilmu misalnya akan menjadi destinasi untuk mengukir tembok keimanan yang ampuh dalam diri.
Dan tidalah sedikitpun kerugian bagi mereka ini,melainkan kejayaanlah yang bakal ditempa lewat hidup di dunia ini, jua pada hari akhirat kelak.
    
             Hakikat ini juga menggambarkan betapa ada ruang perbezaan yang ketara antara mereka yang memilih destinasi keredhaan berbanding destinasi kenikmatan maksiat.Mereka yang setia menjadi pengunjung ruang maksiat biasanya dipandang hina dalam masyarakat.Mereka juga sering dikaitkan dengan pelbagai pekara yang buruk.Apa sahaja yang mereka lakukan akan dipandang serong oleh masyarakat.Masyarakat seakan hilang kepercayaan kepada golongan ini lantas meletakkan  mereka di ruang kecurigaan yang berpanjangan.
    
                Bagi golongan wanita pula,jika sekiranya mereka sering berkunjung ke tempat-tempat seperti kelab malam, kasino dan rumah-rumah perlacuran,pasti mereka ini akan mendapat gelaran-gelaran yang tidak baik yang boleh menjatuhkan maruah mereka .
     
               Justeru apabila diteliti hadis di atas,sangat jelas kepada kita akan peringatan yang diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita.Betapa kita sewajarnya sentiasa mengingati peringatan pentingnya menjaga diri sendiri supaya tidak mengajak ataupun diajak ke tempat-tempat yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada diri sendiri.Sebaliknya kita sentiasa digalakkan supaya mengajak dan supaya sentiasa diajak untuk ke tempat-tempat yang mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.
   
             Dalam agama islam juga,maruah adalah sesuatu yang amat penting dan sangat dilindungi.Bahkan,hakikat kepentingan maruah dalam islam ini turut dimanifestasikan dalam hukum hudud yang merupakan hukum utama yang diperturunkan bagi menjadi pelindung kepada umat manusia di muka bumi ini.Misalnya ,dalam persoalan menfitnah wanita yang suci melakukan zina adalah tertakluk dalam hukum hudud.Hal ini adalah manifestasi betapa persoalan maruah bukan sesuatu yang enteng dalam islam.Bahkan ia berada pada tempat yang tinggi dan harus dipelihara dengan sebaiknya.
     
              Lantaran itu,islam sentisa menganjurkan umatnya supaya menjaga maruah diri dengan sebaik-baiknya dengan tujuan mengelakkan daripada berlakunya fitnah dan kerosakan.Jika setiap umat islam berusaha menjaga diri dan keluarga daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama,itu bermakna mereka memelihara maruah diri dan keluarga,bahkan maruah islam secara keseluruhannya.Dan berbahagialah mereka yang bejaya memelihara maruah sebagai seorang
umat islam semasa hayatnya di dunia ini.Mereka pasti akan bisa merandai hidup ini dengan aman dan dalam suasana yang amat tenteram.Dan apabila wujudnya keamanan dan ketenteraman, nescaya permusuhan dapat dihindarkan.Oleh itu,setiap umat islam perlu berusaha untuk membina kehidupan mereka sebagai sebuah kehidupan yang disulami aman dan dihiasi damai tanpa sebarang permusuhan.
      
Firman Allah s.w.t.:

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman,supaya mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka.Sesungguhnya, Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan".

                             ( an-Nur: 24:30 )   

             Jika semua manusia mematuhi apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya itu,pasti mereka akan hidup dengan suasana yang aman dan damai tanpa sebarang permusuhan,fitnah dan kerosakan-kerosakan yang lainnya.Malahan,penyakit-penyakit sosial yang kian menular dalam masyarakat pada hari ini dapat dikawal dan diatasi.Ia  tidak akan berkembang-biak dengan banyak apabila semua manusia hidup mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
        
             Hamba Allah s.w.t yang beriman ialah hamba yang sentiasa bertaubat kepada-Nya.Mereka akan sentiasa mengingati-Nya siang dan malam.Dalam jaga dan dalam lena.jasad dan roh mereka tidak pernah alpa daripada mengingati Yang Maha Esa.Mereka tidak mungkin leka dalam alunan nikmat dunia yang bersulamtipu daya.Mereka juga tidak mungkin kecundang dengan apa bentuk godaan sekalipun.Jiwa dan raga mereka tidak pernah tergugat ketaatannya kepada Allah s.w.t.
           
             Ruang munajat sentiasa dicari buat melafazkan ketaatan dan menyesali kealpaan dan kesilapan diri.Sujud sembah memohon keampunan tidak lekang daripada diari hidup mereka.Lantaran merasakan diri tidak pernah sempurna,dan sentiasa tergelincir ke jurang noda dan dosa,muhasabah diri mengajak mereka untuk sentiasa melafazkan taubat dengan diiringi kesal bergunung,lantas menghadirkan manik-manik jernih bertaburan dalam kolam mata.
Itulah hakikat hidup mereka yang sentiasa menginsafi siapa diri mereka yang sebenarnya.Bahkan,Rasulullah s.a.w.sendiri,walaupun baginda adalah kekasih Allah s.w.t yang mendapat jaminan syurga daripada-Nya,sentiasa bertaubat setiap hari sehinggalah detik kewafatan baginda.
           
Firman Allah s.w.t.
"Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri,janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t.Sesungguhnya Allah s.w.t mengampuni semua dosa-dosa dan sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
                                                                    
                                         ( az-Zumar: 39:53 )
          
           
                 Memohon ampun daripada Allah s.w.t dengan meninggalkan semua perbuatan yang mendatangkan dosa,mampu menghadirkan ketenteraman dan kesejahteraan dalam hidup kita.Keampunan dan keredhaan Allah s.w.t juga akan hadir apabila titik-titik dosa sirna lewat munajat bersulam insaf.Dan ini seterusnya akan membolehkan generasi yang soleh dan mulia dilahirkan berkat daripada keampunan dan keredhaan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya.
          
              Oleh itu,setiap daripada kita harus sentiasa memohon keampunan lantas berusaha meraih keredhaan Allah s.w.t demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia ini,juga kejayaan di akhirat kelak.Tiada dalam pintas untuk memiliki keampunan-Nya.Tiada jalan segera meraih keredhaan-Nya.Segalanya harus bermula dengan keinsafan diri betapa sebagai hamba-Nya,keampunan dan keredhaan Allah s.w.t hanya akan dapat diraih lewat pemurnian diri, baik zahir mahupun batin.Setiap gerak tindak,juga lintas fikir haruslah berasaskan keinsafan bahawa ia tertakluk di bawah maklum Allah s.w.t.
           
             Andai di hati tertanam insaf segala yang dilakukan,jua yang terlintas dikamar hati sentiasa diperhatikan Allah s.w.t maka sudah tentu kita akan sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada kejelekan tindak laku,jua kekejian niat rasa.Dan diri juga pasti tidak pernah alpa bersujud sembah merafakkan taubat demi restu keampunan juga meraih redha-Nya lantas membolehkan hidup yang dirandai setiasa diberkati dan akhirat yang menanti menjanjikan laman-laman syura nan indah.
 
Powered by Blogger