Wednesday, June 23, 2010
Jangan Ikut Hawa Nafsu,Jangan Panjang Angan-Angan.
Rasulullah s.a.w bersabda :
"Dalam banyak-banyak pekara yang aku bimbangi kepada umatku ialah perbuatan menurut hawa hafsu dan panjang angan-angan".
Sya'b bin Amran: 10218 (Doif jiddan)
Setiap manusia memiliki hawa nafsu dan akal fikiran.Itulah yang membezakan manusia dengan haiwan,yang hanya memiliki hawa nafsu.Akan tetapi,perbuatan menurut hawa nafsu boleh menyebabkan manusia berada dalam kesesatan.Bahkan ,hawa nafsu yang gagal dikawal boleh sahaja mewajahkan manusia seumpama binatang.Apabila manusia lebih
banyak menurut hawa nafsu,mereka akan terdorong melakukan sesuatu pekara tanpa mengira halal haram.Malah manusia yang gagal melawan hawa nafsunya,seringkali terdorong untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh islam dan mengharamkan
apa yang dihalalkan.Bagi ketua keluarga misalnya,mereka akan mencari nafkah untuk menyara keluarga mereka dengan cara yang haram lantaran tewas dengan dorongan hawa nafsu.Mereka akan menggunakan pelbagai cara sama ada dengan tipu muslihat,
mencuri,merompak dan sebagainya demi mendapatkan apa yang mereka inginkan.Semua ini bisa sahaja terjadi lantaran dorongan nafsu yang inginkan kemewahan atau mungkin sahaja kerana ingin mencapai cita-cita yang dilukiskan oleh hawa nafsu.
Biarpun lukisan cita-cita itu bersalahan dengan tuntutan agama,tetapi apabila hawa nafsu beraja di dalam diri,mereka sanggup untuk menggampainya tanpa mengira cara yang dilakukan itu menyimpang daripada tuntutan agama.Lantas jadilah mereka sebagai hamba nafsu.
Pada sisi lain,bagi mereka yang kaya-raya pula,tewas kepada hawa nafsu memungkinkan timbulnya perasaan sayangkan harta sehingga tidak mahu mengeluarkan sebahagian harta yang mereka miliki untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan.
Ini kerana mereka berasa tamak dengan apa yang mereka miliki dan tidak mahu berkongsi walau sedikitpun dengan mereka yang sangat memerlukan seperti fakir miskin.Demikian antara bahana hawa nafsu yang tidak pernah memilih sama ada mangsanya adalah kalangan mereka yang miskin atau kaya.
Antara ciri atau sifat orang yang menurut hawa nafsu adalah sifat malas berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal.Terkadang mereka merasa sangat sukar untuk mencari rezeki yang halal.Mungkin pendapatan yang diperoleh apabila ia
diusahakan dengan cara yang halal,lebih sedikit berbanding usaha yang dilakukan dengan cara yang mungkar.Dan apabila perasaan demikian menguasai diri,mereka akan menurut segala tuntutan hawa nafsu dan memilih jalan haram untuk menebak
rezeki.Justeru mereka sanggup melakukan pelbagai pekerjaan yang salah asal sahaja ia menjanjikan pulangan lumayan seperti mengedar dadah,melacur,merompak dan sebagainya.Semuanya dilakukan semata-mata untuk memenuhi keinginan hawa
nafsu untuk hidup mewah dengan cara yang cepat tanpa perlu bersusah payah untuk suatu tempoh yang lama.
Disamping itu,sifat panjang angan-angan pula adalah suatu perbuatan sia-sia.Mereka yang hidup dalam keadaan panjang angan-angan lebih banyak membuang masa dengan tidak melakukan sesuatu pekara yang berfaedah bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga
kepada umat islam amnya.Sifat panjang angan-angan juga dikaitkan dengan perbuatan suka menangguh-nangguhkan sesuatu pekerjaan.Apabila mereka berazam untuk melakukan kebaikan,mereka tidak akan bersegera melakukannya.Sebaliknya ia sering
ditangguh-tangguhkan.Malah,jika mereka melakukannya sekalipun,ia dilakukan dengan sambil lewa sahaja.Akibatnya,apa sahaja pekerjaan yang mereka rancangkan tidak akan sempurna apabila dilaksanakan.Kalau menjadi sekalipun,selalunya akan mengambil
masa yang sangat lama untuk mencapainya.
Mereka yang hidup dengan panjang angan-angan juga sering ketinggalan.Lantaran sering bertangguh dan bersikap sambil lewa,mereka sering menghadapi kesukaran untuk membuat perubahan yang positif dalam hidup.Banyak masa terbuang.
Banyak perencanaan tertangguh.Alangkah ruginya golongan ini kerana terus membuang masa dan bertangguh dalam pekerjaan mereka.
salah satu kerugian yang besar bagi mereka yang panjang anganangan adalah mereka lupa pada akhirat yang menjadi tujuan abadi bagi setiap manusia.Lantaran sikap suka bertangguh,golongan ini terkadang lupa betapa persoalan kebajikan untuk akhirat
tidak seharusnya ditangguhkan.Sebagai contoh,mereka ini sentiasa bertangguh-tangguh apabila melakukan amal ibadat seperti solat.Seperti yang kita semua sedia maklum,solat perlu dilakukan di awal waktu dan setiap umat islam wajib mengerjakannya sebanyak lima kali sehari semalam.
Tetapi,golongan ini,terperangkap dengan panjang angan-angan terkadang menyebabkan mereka lebih suka melakukannya pada akhir waktu.Lebih malang.adakalanya mereka gagal untuk melakukannya.Inilah kecelakaan bagi mereka yang suka bertangguh-
tangguh.Mereka alpa dan tidak memiliki disiplin yang mantap,hinggakan pekara yang melibatkan fundamental agama sendiri pun sering ditangguhkan atau dilakukan sambil lewa.Ini menjerumuskan mereka dalam kancah konflik jati diri dan gagal membina
daya tahan yang mantap.Sedangkan islam menuntut umatnya supaya sentiasa memiliki daya tahan dan bersiap siaga dalam apa sahaja keadaan.Ini kerana musuh islam ada di mana-mana sahaja.Jika umatnya sentisa terleka dengan urusan mereka sendiri,
mereka akan mudah dihancurkan.
Ingatlah betapa kebatilan yang tersusun itu mampu mengalahkan kebaikan yang tidak tersusun.Justeru,umat islam yang lemah,tiada kesatuan dan tiada daya tahan,akan mudah dihancurkan oleh musuh islam yang sentiasa menunggu ruang
dan peluang untuk berbuat demikian.
Hakikat ini dapat dilihat pada senario yang berlaku pada hari ini.Umat islam biarpun ramai,tetapi tidak ubah seperti buih-buih yang terbentuk tatkala ombak membadai pantai.Umat islam di seluruh dunia tidak bersatu hati.
Masing-masing ada matlamat mereka sendiri.Masing-masing meletakkan kepentingan diri dan komuniti sendiri melebihi kepentingan islam sejagat.Lantaran sikap demikian,umat islam kini terleka dengan haluan hidup masing-masing sehingga
melupakan apa yang Allah s.w.t telah perintahkan.Sedangkan pesan Allah s.w.t amat jelas.Dia memerintahkan semua umat manusia bersatu hati dan tidak bepecah belah.Tetapi apa yang berlaku pada masa kini adalah sebaliknya.
Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan umatnya supaya tidak menjadi umat yang panjang angan-angan.Umat islam seharusnya sentiasa berada di hadapan bebanding orang-orang kafir dan bukan sebaliknya.Umat islam sepatutnya menjadi
peneraju dalam segenap bidang.Sepatutnya umat islam yang menguasai segala macam bidang sama ada bidang ilmu,muamalat,binaan,kejuruteraan,perubatan,teknologi dan sebagainya.
Sejarah telah membuktikan betapa umat islam terdahulu adalah golongan yang sentiasa berada di hadapan.Mereka memimpin kemajuan tamadun manusia.Dari minda mereka tergali penemuan baru.Dari tangan mereka terhasilnya ciptaan baru.
Dari telaah mereka terhasilnya ilmu baru yang akhirnya menjadi rujukan seluruh dunia,termasuk di kalangan orang-orang kafir.Dan ini terbukti apabila dunia islam silam memiliki senarai yang panjang tokoh-tokoh dalam semua bidang.Ibn sina,
al-Farabi,al-Khawarizmi dan ramai lagi tokoh yang hebat pada zamannya.Penemuan mereka tidak pernah mati dalam tamadun manusia.Hingga saat-saat ini,penemuan mereka masih diguna pakai dan menyumbang kepada perbangunan tamadun manusia
moden.
Justeru,bagi umat yang ingin berjaya dan mencapai kebahagiaan dalam hidup,tiada jalan pintas untuk mencapainya.Mengalah dengan tuntutan hawa nafsu dan panjang angan-angan tidak akan sesekali membawa manusia ke ancala kejayaan
dan kebahagiaan.Membiarkan hawa nafsu beraja dalam diri akan hanya membawa kecelakaan.Membiarkan kepompong panjang
angan-angan sebagai sarang kehidupan akan hanya menyeret kita menghampiri jurang kegagalan.
Sesungguhnya kebahagiaan pada hakikatnya adalah suatu anugerah yang perlu dicari oleh setiap individu.
Kebahagiaan tidak akan datang dengan sendiri dalam diri tetapi ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Semua orang berhak mendapatkan kebahagiaan kerana ia milik semua.Ia tidak hanya menjadi milik orang yang bijak pandai ataupun kaya raya.Kebahagiaan juga bukan milik orang yang berjawatan tinggi dan mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat.Kebahagiaan adalah milik semua.Setiap daripada kita berhak untuk memiliki kebahagiaan biarpun kita cuma seorang petani,buruh,penoreh getah,peniaga gerai atau sesiapa sahaja.
Allah s.w.t itu Maha Adil.Keadilan-Nya tidak boleh dipersoal.Keadilan-Nya tiada tara yang boleh dibandingkan.Dan lantaran sifat adil itulah setiap hamba-Nya diberi ruang dan peluang yang sama bagi memiliki kebahagiaan.Asal sahaja hamba-Nya itu berusaha dan berikhtiar tanpa jemu untuk mendapatkannya.Hanya dengan usaha,doa dan kepasrahan
penuh yakin pada-Nya yang bisa menghadirkan kebahagiaan hidup seseorang.Kejayaan dan kebahagiaan itu tidak akan datang
tanpa sebarang usaha.Ia bukan seperti perumpamaan,yang bulat datng bergolek.yang pipih datang melayang.
Sebagai mana Firman Allah s.w.t:
"Maka keluarlah dia (Qarun) KEpada kaumnya dengan kemegahannya.Orang-orang yang menginginkan kehidupan
dunia berkata,'Mudah-mudahan kita mempunyai harta kekayaan seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun,
sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntugan yang besar'".
(al-Qasas: 28:79)
Tanda Harta Yang Berkat..
"Apabila seseorang lelaki mendapat harta yang haram,
pasti Allah akan menguasainya dengan air dan tanah yang
dia sendiri tidak mampu hadapinya".
Adapun perkataan air dan tanah yang dinukilkan dalam hadis di atas lebih merujuk kepada perbuatan membina rumah sebagai tempat tinggal.Rasulullah s.a.w. tidak melarang umatnya membina rumah kediaman.Cuma baginda menegah umatnya
membina rumah melebihi kemampuan mereka.Contohnya,seseorang yang berdapatan yang sangat kecil,tetapi membina rumah melebihi kemampuannya,maka itu bersalahan dan tidak dipersetujui oleh Rasulullah s.a.w. Apatah lagi apabila rumah yang dibina itu dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah sesama manusia.
Apalah gunanya memiliki kediaman seindah istana jika penghuninya sombong dan bongkak.Malah,ia sedikitpun tidak akan mendatangkan apa-apa faedah sekalipun kepada penghuninya.Apatah lagi faedah kepada orang-orang sekelilingnya
yang sudah tentu tidak ada sama sekali.Jika tidak berhati-hati,kediaman yang sebegini boleh mendatangkan rasa megah dan bangga diri kepada pemiliknya.Ia menyebabkan pemiliknya sombong dengan apa yang dimilikinya.Andai ini terjadi
maka sia-sialah nikmat yang dikurniakan kepada mereka.Ia tidak mampu membawa mereka lebih dekat kepada Allah s.w.t. Malah,lebih buruk lagi ia akan mengundang kemurkaan-Nya.
sifat sebegini tidak sepatutnya ada dalam diri setiap umat islam.Ini kerana apa sahaja yang dimiliki tidak akan kekal.Tatkala roh berlalu meninggalkan jasad demi menyahut panggilan ilahi,semua milik di dunia ini akan ditinggalkan begitu sahaja.Biar sebesar manapun kediaman yang kita miliki,jasad tanpa roh tetap akan meninggalkannya dan liang lahad menjadi kediaman terakhir.Justeru,biar sebesar dan seindah manapun mahligai kediaman,andai tanpa apa-apa tujuan yang bersifat rohani
dan pendidikan maka ia dikhuatiri tida akan membantu pemiliknya di akhirat kelak.Dan apabila ini berlaku,celakalah yang menimpa pemiliknya tatkala jasad bersemadi di liang lahad dan roh melata di alam barzakh.Akhirat kelak,istana kebanggaan pasti bertukar kawah berapi di neraka jahanam.
Setiap daripada kita yang mengaku dirinya umat islam wajib menyedari akan matlamat utama dalam setiap usaha kita di dunia ini,termasuklah dalam hal mencari rezeki.Matlamat utama umat islam dalam mencari rezeki adalah untuk mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.Berkat bermaksud apa sahaja yang kita lakukan dan kumpulkan semasa di dunia dapat menjadi bekal keperluan di akhirat kelak.Ini bermakna dunia tidak pernah terpisah daripada akhirat.Ragam hidup seseorang semasa hayatnya di dunia akan menjadi penentu kepada nasibnya di akhirat kelak.Andai hidup yang dirandai sehayat dunia ini mengikut landasan yang ditetapkan Allah s.w.t maka berbahagialah mereka diakhirat kelak.
Justeru untuk memastikan kejayaan di dunia,jua kebahagiaan tatkala hidup berpindah ke akhirat,maka dunia dan akhirat hendaklah sentiasa seiring dalam segenap tindak laku dan usaha sepanjang hayat yang fana ini.Dalam konteks ini,perlu seimbangkan keperluan dunia dan akhirat.Tidak seharusnya wujud ketidakseimbangan dalam segenap perbuatan dan usaha semasa di dunia.Misalnya,setiap umat islam perlu mencari keperluan hidup mengikut piawaian halal agar nanti usaha itu dikira sebagai amal jariah dan ibadah yang kelak akan turut mendapat ganjaran pahala.Ia umpama serampang dua mata.Mencari rezeki untuk memenuhi tuntutan hidup dunia dan dalam masa yang sama akan menjadi sebahagian daripada amal jariah dan ibadah yang diganjarkan pahala.
Salah satu petanda harta yang kita miliki itu tidak ada berkatnya adalah apabila ia dibelanjakan ke arah sesuatu yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain.Pemiliknya mungkin membazirkan hartanya begitu sahaja tanpa disedarinya.Hartanya tidak pernah menjadi wasilah untuk pemiliknya menjana ganjaran yang lebih besar iaitu pahala yang kelak akan menjadi bekal hidup di akhirat kelak.Sebaliknya,harta yang dimiliki sentiasa mendorongnya untuk menjengah hidup yang sia-sia dan terus hanyut di lautan nikmat duniawi
yang penuh muslihat kehancuran.
Sebaliknya,harta yang berkat adalah harta yang memberi manfaat bukan sahaja kepada dirinya,tetapi juga kepada orang lain.
Harta tersebut digunakan pada jalan yang baik.Pemiliknya juga sentisa terdorong untuk menginfakkan harta miliknya kejalan Allah.Sesekali tidak pernah bersarang di sanubarinya perasaan lokek untuk menghulurkan apa sahaja yang dimilikinya kepada
mereka yang memerlukan.Bahkan,merekalah yang sentisa di hadapan membantu sesiapa yang memerlukan tanpa mengharapkan sanjungan dan balasan.Dan asas sumbangan yang dihulurkan ibarat kata pepatah,tangan kanan memberi tanpa diketahui oleh tangan kiri.
Dalam kata lain,mereka memberi tanpa perlu menghebohkan kepada sesiapa.Mereka memberi tanpa mengharapkan sanjungan dan pujian orang lain.Jauh sekali member dengan penuh muslihat iaitu memberi dengan mengharapkan balasan yang lebih besar.
Sebaliknya,mereka memberi dengan penuh keiklasan.Memberi dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan bahawa apa yang dimiliki itu bukan milik mutlak mereka,sebaliknya hanya pinjaman daripada Allah s.w.t yang wajib dikongsikan bersama mereka yang memerlukannya.
Dalam soal keberkatan ini,ia bukan membabitkan kuantiti.Keberkatan bukan terletak kepada jumlah harta yang dimiliki.Sedikit atau banyak bukanlah parameter yang menentukan sama ada harta seseorang itu diberkati ataupun tidak.Sebaliknya,
keberkatan itu melibatkan bagaimana harta itu memberi manfaat di dunia mahupun di akhirat melalui cara ia digunakan.Andai jalan Allah s.w.t yang menjadi pilihannya,maka itu tandanya ia mendapat keberkatan.Sebaliknya,andai ia dibelanjakan
pada jalan yang salah dan sia-sia,ia petanda tiadanya keberkatan pada harta yang dimiliki seseorang itu.Justeru,harus diinsafi oleh setiap manusia betapa keberkatan itu bukan bergantung kepada jumlah harta yang dimiliki.Andai jumlahnya
sedikit,tetapi mampu memberikan manfaat kepada pemilik dan orang lain sama ada di dunia dan di akhirat,itu memberikan petanda adanya keberkatan.
Dalam perkara yang melibabkan harta ini,Rasulullah s.a.w menegah umatnya menunjuk-nunjukkan harta kekayaan yang ada pada diri mereka.Baginda juga menegah pemiliknya bersifat bakhil dan tamak dengan apa yang dimilikinya lantaran sikap
seumpama itu akan hanya mengundang kemurkaan Allah s.w.t.Sebaliknya,baginda menggalakkan kekayaan yang ada pada seseorang itu dikongsi bersama-sama mereka yang memerlukan.
Untuk itu,bagi mereka yang tergolong dalam golongan orang-orang yang berkemampuan,mereka diwajibkan mengeluarkan sebahagian daripada harta milik mereka untuk diberikan kepada golongan-golongan yang memerlukan dan layak menerimanya.
Harta-harta ini dikeluarkan dalam bentuk sedekah dan zakat.Dengan cara ini,harta itu akan dapat memberikan manfaat yang sepatutnya kepada pemilik jua mereka yang memerlukan.
Lebih daripada itu,ia juga dapat membersihkan harta mereka daripada sesuatu yang haram lantas menghadirkan keberkatan yang berkekalan.Bahkan,janji Allah s.w.t betapa mereka yang banyak bersedekah dan tidak lalai menunaikan zakat atas apa yang
dimilikinya,nescaya akan digandakan lagi rezeki mereka. Pintu rezeki pasti kian melebar buat mereka yang sentiasa taatmenjunjung perintah Allah s.w.t dalam mengurus dan membelanjakan harta milik mereka.
Dalam gigih mencari rezeki,sentiasalah kita memagari hati dengan keimanan dan ketaqwaan agar harta yang diperoleh sesekali tidak menjadi penghalang untuk turut gigih beribadah kepada Penciptanya.Lantas,abadikanlah cita-cita dan
laksanakanlah dalam kehidupan seharian betapa setiap harta yang dikurniakan akan menjadi medium untuk terus gigih taat beribadah kepada Allah s.w.t pemilik segala harta yang sebenar-benarnya.Takzimkanlah diri untuk sentiasa mensyukuri setiap
pemberiannya,lantas suburkan amalan bersedekah dan berzakat dalam kehidupan.
Sedekah tidak sama sesekali menyusutkan harta.Zakat tidak sesekali mengurangkan harta yang dimiliki.Bahkan sedekat dan zakat menghadirkan keberkatan dan nescaya anugerah Allah s.w.t akan berlipat kali ganda lagi.
Di samping itu,jika harta yang dimiliki itu menjadi halangan untuk umat islam mendekatkan diri kepada Allah s.w.t adalah lebih baik mereka tidak memiliki harta yang banyak.Lebih baik memiliki sedikit harta daripada banyak harta jika
dengan jumlah yang banyak itu boleh membawa kepada kemungkar,dosa dan kelalaian.Itulah yang terlebih baik demi menghindar diri daripada tergolong dalam kalangan mereka yang dimurkai Allah s.w.t semasa merandai hayat di dunia.
Itulah juga yang terlebih baik demi memastikan setiap harta yang dimiliki itu kelak tidak akan menjadi bahan penderaan yang didatangkan dari neraka untuk menyeksa kita ketika di akhirat kelak.
Selain harta dalam bentuk kebendaan,ilmu yang dimiliki juga adalah harta yang sangat berharga.Tanpa ilmu,manusia akan hidup dalam keadaan terumbangambing.Hidup tanpa ilmu umpama berjalan dalam kegelapan,tanpa sekelumit
cahaya.Mengantur langkah tanpa cahaya waimamdari sekecil lantera,pasti menjanjikan kesukaran yang amat.Sulit melangkah pasti bisa memberikan musibah kepada kita.
Lantaran itu,islam mewajibkan umatnya supaya menuntut sebanyak ilmu yang boleh.Hanya ilmu yang dapat menjadi lantera buat menyuluh denai kehidupan yang sarat dengan cabaran ini.Hanya ilmu yang mampu mengangkat
darjat seseorang lantas membolehkan seseorang itu meraih kejayaan di dunia,jua kesejahteraan di akhirat kelak.Bahkan ilmu itu juga andai diladeni dengan sewajarnya akan turut memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri
tetapi juga kepada orang lain.Bahkan seisi dunia juga bisa mengecap manfaatnya andai setiap titis ilmu dinyalirkan pada alur kebenaran.Asal sahaja ilmu itu dimanfaatkan demi kesejahteraan dan bukan untuk disalah gunakan.
Pun begitu,tiada terkira ruginya andai ilmu yang dimiliki tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.Bahkan ilmu itu akan sirna tatkala pemiliknya pergi meninggalkan dunia yang fana ini.Lantas,jika ilmu yang dimiliki tidak disampaikan
dan dikongsikan dengan orang lain,ia akan sia-sia dan langsung tidak akan menjana manfaat kepada pemilik mahupun isi dunia yang lain.Justeru tidak hairanlah jika pesan tertitip betapa ajarlah ilmu walaupun hanya sepatah perkataan.
Ini kerana,biarpun ilmu itu tertancap pada sepatah perkataan.tetapi andai ia bisa dimanfaatkan pada jalan kebenaran,maka kesannya amat besar kepada seisi dunia.
Suhuf Ibrahim ada menyebutkan :
"Orang berakal harus mempunyai tiga waktu yang perlu dimanfaatkannya :satu waktu untuk bermunajat kepada Tuhannya,waktu kedua untuk dia bermuhasabah mengenai dirinya sendiri dan waktu ketiga untuk dia menikmati kesenangan-kesenangan dunia yang halal bagi dirinya kerana waktu yang terakhir ini akan membantu perlaksanaan waktu-waktu yang lain".
Allah s.w.t. berfirman :
"Dan (Ingatlah) ketika suatu umat antara kamu berkata,'mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah s.w.t degan azab yang amat keras'.Mereka menjawab,'supaya kami mempunyai alasan (terlepas tangungjawab)kepada Tuhanmu,dan agar mereka bertakwa'".
(al-A'raf :7 :164)
Ayat ini menerangkan betapa orang-orang yang berilmu mempunyai peranan yang sangat besar dalam masyarakat.Titip ilmu di dada mereka bisa menjadi wasilah untuk merubah keadaan.Dengan ilmu yang sarat di dada,seseorang itu bisa memberi
pengetahuan kepada mereka yang tidak memilikinya.Mereka juga bisa membenihkan kesedaran di hati orang menerimanya tentang hakikat kehidupan yang sebenar.Pedoman bisa dikongsi bersama agar hidup lebih sejahtera.Sempadan bisa dibina agar tiada
terpaling hidup ini daripada tujuan dan matlamat sebenar iaitu menuju akhirat yang abadi.Bahkan kejahilan bisa dilenyapkan dan bebunga ilmu akan mewangi menghiasi segenap ruang hidup manusia di muka bumi ini.
Apa sahaja yang berkaitan dengan kehidupan termasuklah ibadah,muamalat,munakahat dan jenayah bisa diladeni mengikut tatacara yang telah digariskan Yang Maha Esa.Lantas,zulmat bisa diterangi,kejahilan bisa disirnakan,juga redha Allah bisa diraih demi menggapai kejayaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat yang abadi.
Lantaran itu,mereka yang berilmu mempunyai peranan yang amat signifikan dalam masyarakat.Mereka yang sarat dengan ilmu tertanggung di pundaknya amanah yang amat besar iaitu menjadi petunjuk arah buat mereka yang kekurangan ilmu.Mereka umpama
nakhoda yang bakal menjadi penunjuk kepada arah tuju pelayaran bahtera itu menuju destinasi yang ditetapkan.Andai mereka tidak memainkan peranan dan hanya berpeluk tubuh membiarkan segala ilmu berkarat di kamar hati,maka dunia pasti semakin
gawat.Kehidupan pasti akan sentiasa diselimuti lumut-lumut kejahilan dan kebejatan.Dan kehancuran pasti tiba.
Inilah yang telah dilakukan oleh para rasul dan nabi Allah s.w.t.Anugerah ilmu daripada Allah s.w.t tidak sesekali dibiarkan sirna tatkala denyut nadi mereka berakhir.Biar pelbagai cabaran dan ancaman harus dirandai lantaran
menyampaikan ilmu dan kebenaran,mereka tidak pernah gentar.Amanah dan tanggungjawab yang lebih utama biarpun jasad dan nyawa menjadi galang gantinya.Demi memastikan lantera ilmu terus menerangi setiap ruang kehidupan manusia,berpantang undur
menjadi pegangan.Merintis denai berduri dan penuh kepayahan tidak pernah menghentikan nyalir semangat dalam diri mereka demi membimbing umat manusia ke jalan yang diredhai Allah s.w.t supaya mereka bukan sahaja sejahtera di dunia,tetapi
berbahagia di akhirat kelak.
Seusai zaman para nabi dan rasul,maka tanggungjawab ini tertanggung di pundak mereka yang berilmu.Dan ingatlah betapa mereka yang memiliki ilmu itu kelak akan dipersoal di akhirat mereka tentang apa yang mereka lakukan dengan harta benda yang
dimiliki,demikian jua mereka yang memiliki harta ilmu.Tidak sesekali terlepas daripada dipersoalkan ajan peranan dan ke mana mereka infakkan ilmu yang dianugerah itu.
Biarpun hanya setitis ilmu yang kite ada,semoga ia tidak disia-siakan dan semoga ia bisa memacu diri ke arah kebenaran.Dan semoga setitis ilmu itu bisa kita abadikan demi kejayaan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat yang abadi kelak,
bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk seisi dunia.Andai ia bisa diterjemahkan dalam laku hidup harian, nescaya kita tidak akan tergolong dalam kalangan mereka yang telah mensia-siakan harta ilmu yang di anugerakan oleh Allah s.w.t kepada kita.



