“ sesungguhnya Allah merendahkan anak adam itu dengan kematian.Allah menjadikan dunia ini sebagai rumah kehidupan,kemudian menjadi rumah kematian.Allah menjadikan akhirat itu sebagai rumah pembalasan, kemudian menjadi rumah yang kekal abadi”.
( Tafsir Ibni Kathir : 8/176 )
Berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Allah s.w.t, manusia dikurniakan akal fikiran.Ini membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain yang ada di muka bumi ini.Kurniaan ini menjadikan manusia sebagai makhluk yang lebih istimewa berbanding makhluk lain.Akal fikiran meletakan manusia pada tempat yang tersendiri.Martabat manusia berada lebih tinggi jika dibandingkan dengan ciptaan Allah s.w.t yang lain.Demikian kehebatan dan keistimewaan yang telah dikurniakan kepada manusia. Berdasarkan keistimewaan ini jualah manusia menjadi makhluk yang paling sempurna ciptaannya berbanding sekelian yang ada di muka bumi ini.Justeru,keistimewaan ini jugalah yang telah melayakkan manusia dikirim menjadi khalifah untuk memakmurkan muka bumi Allah s.w.t ini.
Lantaran itu, manusia diberikan kebebasan memilih apa sahaja yang mereka inginkan sama ada ia baik ataupun tidak. Pun begitu,mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan pilihan dibuat.Mereka tidak sesekali terlepas daripada dipertanggungjawabkan denga apa yang telah mereka pilih. Dan setiap pilihan itu akan dihitung dan ditentukan pembalasannya tatkala tiba hari pembalasan kelak.Jika mereka memilih untuk melakukan kebaikan, mereka akan mendapat ganjaran syurga daripada Allah s.w.t. Sebaliknya,jika mereka memilih untuk berbuat kejahatan, balasan buruk akan diterima daripada Allah s.w.t.
Lantas hadis di atas,adalah suatu peringatan buat sekalian manusia betapa semakin hari mereka semakin menghampiri hari pembalasan yang telah dijanjikan. Dunia yang direntasi semakin hari semakin berlalu seiring dengan perjalanan usia.Kembara merentasi dunia semakin menuju nokhtahnya.Saat-saat roh akan berangkat meninggalkan jasad semakin hari semakin hampir.
Seiring dengan kembara dunia yang semakin ke penghujung, akhirat yang menjadi destinasi terakhir pula semakin mendekat. Gamitan hari yang bakal menjadi penentu nasib sebenar manusia semakin jelas. Hari di mana setiap daripada kita tidak mampu lagi bergantung harap dengan pertolongan saudara-mara, sahabat-handai dan sesiapapun semakin dekat jaraknya.
Baginda Rasulullah s.a.w menyeru umatnya supaya bersiap sedia menghadapi hari pembalasan dengan bekal amalan yang banyak supaya di akhirat kelak, kita tidak akan menjadi hamba Allah s.w.t yang kerugian.Pun begitu, selagi hayat dikandung badan, manusia masih boleh membuat pilihan dan menentukan corak hidup mereka semasa di dunia ini. Memilih sama ada untuk mengejar dunia semata-mata ataupun untuk mencintai akhirat tetap berada di tangan mereka.Umat islam yang bijaksana akan memilih untuk mencintai akhirat lebih daripada mencintai dunia. Ini kerana dunia dan segala isi kandungannya tidak akan kekal selama-lamanya.
Dunia hanya sekadar ladang tempat manusia bercucuk tanam dan hasilnya bakal dituai tatkala roh terdampar di akhirat. Segala hasil cucuk tanam di dunia akan menjadi bekal yang akan menentukan nasib manusia tatkala berhadapan dengan hari perhitungan. Dunia juga medan manusia mengumpulkan sebanyak mungkin bekalan sebelum kembali semula ke pangkuan Allah s.w.t. Lantaran itu, Rasulullah s.a.w sentiasa menyeru umatnya supaya tidak tertipu dengan nikmat dunia kerana ia hanyalah tipu-daya semata-mata.Baginda sentiasa berpesan agar manusia tidak alpa dan leka dalam pelukan nikmat dunia, tanpa mempedulikan akhirat yang bakal dijengah tatkala tiba saatnya nanti.
Adapun tidak salah mencicip nikmat dunia. Tidak salah mengecap ranum habuan dunia, asal sahaja ia tidak melampaui batas ketetapan yang telah ditentukan oleh agama. Dan sewajarnya, nikmat dunia itu dicicip bersama sedar betapa ia akan turut membuahkan hasil sebagai bekalan akhirat kelak. Seandainya nikmatnya Allah s.w.t ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, apabila ia digunakan untuk melakukan lebih banyak kebaikan, mereka ini adalah orang-orang yang beruntung di akhirat kelak.
Bagi manusia yang memilih untuk mencintai dunia melebihi segala-galanya, mereka tergolong sebagai hamba dunia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan mereka di dunia tanpa memikirkan kehidupan di akhirat yang abadi kelak. Lantaran terbelenggu dengan kesibukan urusan dunia, amal kebajikan dan ibadah sering tertangguh. Bahkan, segala urusan yang sepatutnya bisa menjadi sebahagiaan daripada amal kebajikan menjadi sia-sia lantaran niat mereka yang terpesong. Bahkan, terkadang mereka akan menggunakan apa sahaja cara, waima cara yang haram demi mencapai apa yang dihajati. Niat mereka semata-mata kerana dunia, dan demi memenuhi tuntutan hawa nafsu demi menggapai cita-cita yang tidak pernah ada penghujungnya. Mereka ini tergolong dalam golongan manusia yang rugi. Harta dunia yang tergunung hasil penat lelah, akan menjadi beban buat mereka di akhirat kelak.
Berbeza dengan orang-orang beriman yang tidak pernah hanyut dengan kemewahan dan nikmat dunia.Segala rezeki yang terpungut lewat hidup di dunia wasilah untuk mereka menggapai keredhaan Allah s.w.t lantas menjadi bekal yang amat berharga di akhirat kelak. Kemewahan harta dunia tidak sedikit pun menggugat cinta mereka kepada akhirat. Mereka sedar hidup sangat singkat masanya. Akhirat tidak pernah luput daripada hidup mereka, lantas setiap tindak laku tidak pernah terlepas daripada nawaitu untuk menembak keredhaan Allah s.w.t.
Biarpun manusia bebas menentukan apa yang ingin mereka lakukan semasa hidup di dunia, namun sepanjang tempoh kehidupan, manusia akan sentiasa tertakluk di bawah qadha’ dan qadar Allah s.w.t.Seluruh umat manusia tidak akan terlepas daripada menerima takdir yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Apa yang perlu dilakukan oleh setiap manusia sebagai hamba Allah s.w.t adalah bersedia menerima apa sahaja yang bakal mereka tempuhi. Ketakwaan dan keimanan harus diperteguhkan demi menerima apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Jika iman mereka kuat, mereka akan menghadapi apa sahaja dengan redha. Mereka akan sentiasa mensyukuri apa sahaja yang menimpa waima kepahitan kerana menyedari setiap yang ditentukan itu ada hikmahnya.
Setiap yang berlaku itu adalah sebahagian daripada ujian yang cuba menguji keampuhan iman. Justeru berlapang dada dan redha dengan apa yang diturunkan akan dibalas dengan pahala yang kelak akan menjadi bekalan berharga untuk melalui detik-detik perhitungan di akhirat. Bahkan, bagi yang redha dengan ujian Allah s.w.t, mereka pasti mendapat ganjaran yang sangat besar, sama ada di dunia mahupun akhirat. Jika ditakdirkan menerima nikmat yang besar, lafaz kesyukuran tidak pernah lekang dari bibir dan hati mereka, di samping akan mendorong mereka untuk memantapkan lagi keimanan kepada Allah s.w.t.
Sebaliknya, mereka yang kufur , apabila didatangkan ujian dan dugaan sering dihambat perasaan tidak puas hati.Tiada rasa berlapang dada , apatah lagi redha untuk menerima ujian. Iman yang rapuh merangkap mereka dalam kepompong sejuta rasa negetif yang terkadang akan membawa mereka ke lembah kekufuran yang lebih besar. Tiada sedikitpun di hati mereka untuk memikirkan hikmah di sebalik apa yang berlaku, melainkan perasaan yang bersangka buruk semata-mata. Manakala apabila mereka mendapat nikmat yang besar, mereka tidak pernah bersyukur. Sebaliknya mereka akan merasakan itu semua adalah hasil daripada kegigihan mereka. Lantas nikmat itu akan terus menyesatkan mereka dan celakalah yang menanti golongan ini pada hari akhirat kelak.
Firman Allah s.w.t.
“Katakanlah wahai Muhammad !Sesungguhnya pekara (yang telah dijanjikan ) itu semuanya tertentu bagi Allah s.w.t. (Dialah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan-peraturan yang ditetapkan-Nya )”.
( Ali-Imran 3:154 )
Firman Allah s.w.t lagi :
“ Tidak ada sesuatu kesusahan ( atau bala bencana ) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga (yang menimpa ) diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam dalam kitab (pengetahuan kami ), sebelum Kami (Allah s.w.t ) menjadikannya.Sesungguh-nya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah s.w.t. ( Kami diberitahu tentang itu ) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang telah diberikan kepada kamu dan (ingatlah) Allah s.w.t tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membangga diri”.
( al-Hadid: 57:22-23)
Manusia wajib menginsafi betapa semua yang ada di muka bumi ini adalah milik Allah s.w.t. Justeru apa yang dimiliki oleh manusia sekadar pinjaman yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. Lantaran itu,setiap amanah akan dipertanggungjawabkan. Setiap amanah wajib dilaksanakan dan jaga sebaik mungkin. Oleh itu,segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t ini wajib dicicipkan dengan sebaik-baiknya mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t tanpa melakukan sebarang bentuk kerosakan.
Pun begitu, disebabkan sifat tamak haloba manusia,mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga menyebabkan kerosakan di atas muka b umi ini semata-mata untuk memenuhi keinginan masing-masing yang tidak pernah berpenghujung. Mereka lupa dengan amanah dan tanggungjawab yang telah dipikulkan ke atas mereka. Ini akhirnya akan membawa kemudaratan kepada diri mereka dan dunia. Golongan pemusnah ini, kelak akan mendapat pembalasan di atas segala kerakusan yang telah mereka lakukan kepada milik Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman :
“ Maka apakah sama orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (syurga ) lalu dia memperolehnya , dengan orang yang Kami berikan kepadanya kesenangan hidup duniawi. Kemudian pada hari kiamat dia termasuk orang-orang yang diseret (ke dalam neraka )”?
( al-Qasas: 28:61 )
Lantaran itu,segala nikmat kurniaan Allah s.w.t perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Binatang, tumbuh-tumbuhan dan segala isi alam ini diciptakan untuk manfaat manusia. Tiada satu pun ciptaan Allah s.w.t itu sia-sia. Segala-galanya ada peranan dan tujuan yang telah ditentukan oleh penciptanya. Binatang diciptakan bukan sahaja untuk menjadi sumber makanan kepada manusia tetapi juga sebagai kenderaan untuk memudahkan segala urusan manusia di atas muka bumi. Demikian juga dengan tumbuh-tumbuhan serta bahan galian yang ada di dalam perut bumi. Semua ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk manfaat manusia supaya beribadah dalam erti kata melakukan apa sahaja aktiviti demi mendapat keredhaan-Nya semata-mata. Ini semua untuk menambahkan bekalan sebelum kembali semula kepada Allah s.w.t apabila tiba masanya kelak.




